Powered By Blogger

Sabtu, 11 Januari 2014

PERANAN AKHBAR UTUSAN MELAYU



PERANAN AKHBAR UTUSAN MELAYU DALAM POLITIK DI TANAH MELAYU 

 Pendahuluan

Sebagaimana kita ketahui bahawa dalam kehidupan seharian, surat khabar adalah mempunyai peranan yang amat besar. Diantara peranan yang dapat dimainkan oleh surat khabar ialah sebagai alat untuk mendapatkan perkhabaran, menyatakan pendapat, memberikan penerangan, membimbing, mendidik, mempengaruhi, untuk konteks sosial, dan mempertinggi perkembangan kebudayaan.[1] Disamping itu, dapat juga kita katakan bahawa surat khabar juga berperanan sebagai alat untuk mengkritik ketidakadilan, mempertahankan dan menegakkan bangsa supaya dapat berdiri dengan tegak sesuai dengan kehendak bangsa dan negara itu sendiri.
            Sebagai seorang penyelidik atau ahli sejarah, surat khabar yang sudah lama, merupakan suatu benda yang sangat berguna dan amat berharga. Kerana diantaranya merupakan suatu alat perakam yang penting terhadap sesebuah masyarakat. Surat khabar juga bukan hanya dapat menggambarkan kehidupan sebenar masyarakat pada ketika itu, tetapi juga menjadi cerminan perubahan, perkembangan dan kemajuan masyarakat yang semuanya tercatat dalam naskah-naskah akhbar. Semenanjung Tanah Melayu yang dulu termasuk Singapura, adalah kaya dengan pelbagai penerbitan sama ada dalam bentuk akhbar, majalah dan buletin yang dikeluarkan dengan berbagai-bagai bahasa yang tentunya termasuk bahasa Melayu.[2] Keadaan ini berlaku ekoran daripada lambatnya perkembangan teknologi radio dan television di Tanah Melayu pada ketika itu. Sejarah penerbitan surat khabar Melayu ini bermula pada tahun 1876, apabila terbitnya suratkhabar Jawi Perankan dibawah pimpinan Munshi Mohd Said bin Dada Mohyiddin. Kewujudan akhbar Jawi Peranakan ini menjadi asas kepada kewujudan akhbar-akhbar lain di Tanah Melayu.
            Seperti juga akhbar Utusan Melayu yang wujud sebagai alat penyampai maklumat kepada masyarakat di Tanah Melayu selepas beberapa puluh tahun kewujudan akhbar Jawi Peranakan ini. Akhbar Utusan Melayu ini merupakan salah satu akhbar daripada ratusan akhbar yang wujud di Tanah Melayu yang menjadi nadi terhadap penyebaran maklumat kepada masyarakat. Perkembangan persuratkhabaran di Tanah Melayu ini dilihat memberikan banyak kebaikannya terhadap masyarakat yang menjadi asas terhadap pencapaian Malaysia hari ini. 

Latar belakang akhbar Utusan Melayu

Kisah akhbar yang bernama Utusan Melayu adalah sesuatu yang sangat menarik dalam sejarah persuratkhabaran dan kesedaran politik bangsa dan kebangsaan melayu. Sebenarnya terdapat dua naskah akhbar yang bernama Utusan Melayu ini yang diterbitkan di Singapura pada tahun 1907 dan Utusan Melayu yang diterbitkan pada tahun 1939  yang dimodali sepenuhnya oleh orang Melayu.[3] Satu perkara yang penting perlu kita ketahui adalah akhbar Utusan Melayu di Singapura pada 1907 dan akhbar Utusan Melayu pada 1939 adalah berbeza dan tidak mempunyai hubungan langsung antara kedua-duanya.[4]
Utusan Melayu yang pertama telah memulakan penerbitan pada 7 November 1907 oleh seorang penguasaha Inggeris bernama William Makepeace sebagai kembaran kepada akhbar Inggeris kelolahaan miliknya iaitu Singapore Free Press ataupun terjemahan daripada akhbar bahasa inggeris Singapore Free Press ini.[5] Pada mulanya akhbar ini ditulis dengan huruf jawi dan rumi dan dicetak oleh Singapore Free Press.[6] Kesan daripada masalah pengurusan dan kewangan dalam syarikat akhbar Utusan Melayu ini yang berlaku sekitar 1918, menyebabkan penerbitan akhbar ini ditamatkan pada tahun 1921.
Ukuran bagi akhbar Utusan Melayu yang pertama ini ialah 13.7 inci bagi lebar akhbar dan 22.7 inci bagi panjang akhbar. Pada asalnya akhbar ini hanya mengandungi empat halaman, yang mana 2.75 halaman ditulis dalam huruf jawi dan selebihnya iaitu 1.25 muka surat ditulis dalam huruf rumis.[7] Pada peringkat permulaan penerbitan akhbar ini adalah sebanyak tiga kali dalam seminggu iaitu hari pada selasa, rabu  dan khamis sehingga 21 September 1915. Walau bagaimanapun kadar penerbitan ini berubah menjadi harian pada 22 September 1915 sehinggalah berakhirnya penerbitan pada tahun 1921.
Setelah 18 tahun akhbar pertama ini terhenti dalam penerbitannya, timbul satu permuafakatan untuk menerbitkan semula akhbar Utusan Melayu yang baru. Pada bulan Mei 1939, seorang pemuda kelahiran negeri Perak, Yusuf Ishak dan rakan-rakannya dalam Kesatuan Melayu Singapura (KMS) telah bersusah payah menubuhkan sebuah syarikat yang dinamakan Syarikat Utusan Melayu Press Limited, lalu menerbitkan akhbar harian yang juga diberi nama Utusan Melayu.[8] Perkara yang lebih menarik lagi modal sebanyak RM12,290.00 yang digunakan untuk memulakan akhbar Utusan Melayu yang kedua ini diperolehi daripada sumbangan orang ramai yang insaf dan bersemangat membela nasib bangsa yang terdiri daripada pekebun kecil getah, penanam padi, pemandu teksi, dan peniaga kecil.[9] Oleh itu, dapatlah kita katakana bahawa 70 tahun dahulu Utusan Melayu hanyalah suatu kelahiran daripada resah perjuangan anak-anak Melayu yang bertekad, menyuarakan semangat dan iltizam bangsanya.
Justeru itu, pada 29 Mei 1939, bermulalah penerbitan kedua akhbar Utusan Melayu ini di Singapura. Sesungguhnya, Utusan Melayu ini merupakan akhbar harian tulen kebangsaan yang bertindak sebagai penyambung bangsa Melayu pada masa itu. Terbitan yang pertama akhbar ini mengandungi 20 muka surat yang berharga 10 sen senaskah.[10] Setelah terbitnya Utusan Melayu yang kedua ini, menambahkan lagi rakan saingan akhbar-akhbar harian yang lain seperti Warta Malaya, Majlis, dan Warta Negara dalam menggembleng semangat dan perjuangan orang melayu untuk mengahadapai penjajahan British.
Utusan Melayu merupakan akhbar Melayu yang ditulis dalam tulisan jawi. Bentuk fizikalnya sejak dari awal sentiasa ada mengalami perubahan. Dalam tahun pertama, ukuran akhbar ini adalah 10.8 inci lebar dengan 15.4 inci panjang. Sehingga keluaran 6 Mac 1942 ukuran lebar dan panjangnya berubah kepada 10.4 inci dan 14.9 inci, kemudian pada 12 Ogos 1942 pula bertambah menjadi 19.8 inci dengan 16.9 inci, dan sekali lagi berubah saiz pada keluaran 23 Oktober 1968 iaitu 16.5 inci lebar dan 22.9 inci panjang.[11]
Dalam kerancakkan penerbitan akhbar Utusan Melayu ini sehingga masuk abad ke-21, satu perubahan nama atau penjenamaan nama semula berlaku dalam sejarah akhbar ini. Penjenamaan nama atau penukaran nama ini berlaku pada 1 September 1967, apabila nama akhbar Utusan Melayu ini ditukarkan kepada akhbar Utusan Malaysia.[12] Oleh yang demikian, akhbar Utusan Malaysia yang kita boleh dapatkan pada masa sekarang ini merupakan warisan akhbar Utusan Melayu yang telah lama berkhidmat sebagai media penyampai maklumat kepada masyarakat sejak penubuhannya pada 1939. Keistimewaan akhbar Utusan Melayu juga adalah disebabkan satu-satunya akhbar harian Melayu dalam tulisan Jawi di Nusantara Melayu.[13] Akhbar-akhbar harian Melayu lain bertulisan Jawi di Semenanjung seperti Majlis dan Warta Negara telah lama ditutup. Walau bagaimanapun akhbar bertulisan Jawi ini telah diberhentikan penerbitannya atau tiada lagi dipasaran pada 1 Januari 2003.[14]

Tokoh penting dalam perkembangan Utusan Melayu
Terdapat ramai tokoh yang memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju Utusan Melayu ketika berhadapan dengan senario persuratkhabaran di Tanah Melayu. Antara tokoh dalam penulisan dan penyumbang buah fikiran sekali gus pernah menjadi ketua pengarang dalam akhbar ini ialah Haji Abdul Rahim Kijai (1894-1943). Beliau dilahirkan di Setapak, Kuala Lumpur pada 1894 dan mendapat pendidikan awal di kampung tersebut sehingga mencapai darjah lima pada tahun 1905. Setahun kemudian beliau belajar ke Mekah untuk mendalami bahasa arab. Pada tahun 1909, beliau pulang ke tanah air dan berkerja sebagai pengatur huruf di sebuah pejabat percetakan kerajaan di Kuala Lumpur, disambing belajar Bahasa Inggeris. Kelebihan dalam diri beliau yang petah bercakap dan petah menulis adalah menjadi suatu keistimewaan dalam dirinya.
            Bagaimanapun keulungan beliau tidak hanya terbatas pada kecekapannya dalam perdebatan, tetapi juga beliau seorang pengarang tua yang pandai memberi nasihat dan pandai pulak berbahas. Justeru itu, beliau telah digelar sebagai “Bapa Kewartawanan Melayu”.[15]

3.0             Peranan akhbar Utusan Melayu

Kewujudan persuratkhabaran di Tanah Melayu yang pelbagai ini sememangnya adalah berdasarkan perbezaan matlamat dan peranan yang menjadi landasan utama setiap akhbar. Adalah menjadi suatu kewajiban bagi sesebuah akhbar untuk bergerak di atas pokok utama penubuhannya. Maka tidak hairannya kepelbagaian akhbar yang wujud bagaikan cendawan yang tubuh selepas hujan di Tanah Melayu pada awal abad ke-20. Jika kita perhatikan dalam kepelbagaian akhbar yang wujud di Tanah Melayu ini, terdapat banyak ketegori kita boleh kelaskan, antaranya ada akhbar yang wujud disebabkan keperluan sesebuah parti untuk menyampaikan propaganda mereka seperti akhbar Suara UMNO (1951-1954), Malaya Merdeka (1955-1963) dan Merdeka (1964-1969).[16] Selain itu, terdapat juga akhbar yang wujud kerana ke prihatinan terhadap kepentingan dan kedudukan orang Melayu seperti akhbar Jajahan Melayu (1896-1897). Tidak lupa juga terhadap akhbar Al-Imam (1906), yang untuk menyampaikan pandangan, nasihat dan tunjuk ajar, dan menggerakkan umat Islam supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar berpandukan AL-quran dan As-Sunnah demi menghadapi dunia yang kian mencabar.[17]
            Bagi akhbar Utusan Melayu pula, diawal kewujudan akhbar ini dilihat sebagai akhbar yang mengambil berat terhadap masalah kehidupan yang dihadapi oleh masyarakat Melayu. Akhbar ini dilihat jauh sekali kewujudannya kerana berdiri diatas sesebuah parti sebagai alat propaganda. Keadaan ini dinyatakan oleh Alias Mohamed iaitu, ketika Utusan Melayu mula-mula ditubuhkan pada 1939, dahulu ia bertolak dari cita-cita murni iaitu untuk berusaha keras untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dalam bidang sosial, ekonomi, pendidikan dan hatta politik.[18]  Utusan Melayu telah menggesa supaya orang Melayu meningkatkan taraf ekonomi mereka dengan memasuki segala lapangan penghidupan termasuklah menambahkan usaha dalam bercucuk tanam, menjalankan perdagangan, mengambil bahagian dalam perlombongan dan juga menjalankan pekerjaan perkulian kerana menurut akhbar ini masyarakat Melayu jauh ketinggalan dari bangsa-bangsa lain yang mendatang. Justeru itu, tidak hairanlah akhbar ini telah berjaya bertapak di Tanah Melayu dalam satu jangka hayat yang lama sehinggalah pada masa kini yang masih lagi menerbitkan walaupun telah berubah nama menjadi Utusan Malaysia.
            Akhbar Utusan Melayu ini sememangnya amat prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh masyarakat Melayu terutamanya dalam bidang ekonomi. Dalam bidang ekonomi khususnya, akhbar ini merasa sangat bimbang akan kedudukan orang Melayu yang sangatlah mundur jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa yang mendatang.[19] Justeru itu, adalah menjadi suatu kewajiban orang Melayu untuk sedar perlunya berusaha bersungguh-sungguh  memajukan taraf ekonomi mereka supaya setanding dengan bangsa-bangsa mendatang, terutamanya orang China dan India. Akhbar ini menyatakan bahawa masyarakat Melayu telah lama mengenali kemajuan, tetapi malangnya mereka sangat mundur dalam lapangan ekonomi. Keadaan ekonomi mereka sangatlah miskin dan susah, banyak di antara orang Melayu yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Singapura dan juga di kampung-kampung di Semananjung tidak mempunyai pekerjaan. Semua lapangan kehidupan telah dibolot oleh bangsa-bangsa yang mendatang dalam pekerjaan perkulian, perniagaan, perlombongan dan juga dalam lapangan pertanian. Keadaan ini telah dinyatakan dalam halaman akhbar ini keluaran 2 Jun 1939.
bolehlah dikatakan keadaan kita hari ini seperti kata pepatah Melayu, Ayam mengeram di atas padi mati kelaparan, itik berenang di muka air mati kehausan”[20]
Sememangnya banyak lagi suara keprihatinan yang telah dilontarkan oleh akhbar ini di dalam ruangan penulisannya. Keprihatinan akhbar ini bukan hanya dalam bidang ekonomi, tetapi melibatkan sosial, pendidikan dan juga politik masyarakat Melayu. Keadaan ini menyebabkan akhbar ini telah diterima umum oleh masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun kajian kecil ini bukanlah memfokuskan terhadap peranan akhbar dalam bidang tersebut, tetapi adalah bagi melihat bagaimana peranan akhbar ini dalam bidang politik terutamanya dalam menentang penubuhan gagasan Malayan Union. Seterusnya juga adalah untuk melihat bagaimana penglibatan akhbar ini dalam penentangan penubuhan Malayan Union yang akhir telah membawa akhbar ini menjadi sebuah akhbar propaganda politik parti UMNO, setelah parti ini mengambil ahli terhadap akhbar ini pada tahun 1961.       

Peranan Utusan Melayu dalam Politik (Penentangan Malayan Union)

Terdapat tanda-tanda akhbar ini cenderung untuk campur tangan dalam politik Tanah Melayu pada ketika itu. Tanda-tanda awal ini dapat kita lihat apabila akhbar Utusan Melayu tulisan jawi mencipta sejarah sebagai akhbar Melayu yang pertama menggesa Raja-raja Melayu jangan menandatangani perjanjian Malayan Union.[21] Walaupun usaha akhbar ini dilihat sebagai satu usaha untuk meningkatkan semangat nasionalisme bangsa Melayu untuk menentang gagasan Malayan Union. Namun dari sudut pandangan lain, akhbar ini mungkin akan cendurung untuk terlibat dalam arus politik negara pada masa itu yang sarat dengan penentangan politik luar negara terutamanya pengaruh Soekarno dan Malayan Union. Perkara ini tidak dapat dielakkan kerana adalah menjadi suatu keperluan bagi akhbar untuk terlibat dalam memberi pandangan politik bagi membagunkan sebuah masyarakat yang merdeka.
Peranan akhbar Utusan Melayu ini dalam bidang politik sangat jelas apabila melakukan penentangan terhadap Malayan Union. Kelantangan suara akhbar ini dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat dilihat dapat menyemarakkan semangat nasionalisme terhadap masyarakat. Peranan akhbar ini dalam meniupkan semangat nasionalisme dalam masyarakat melayu menjadi salah satu faktor kemenangan melawan Malayan Union.
Seperti yang kita ketahui, Malayan Union merupakan suatu rancangan yang sangat keji terhadap orang-orang Melayu. Jika rancangan ini berjaya dilaksanakan di Tanah Melayu, bukan sahaja akan meragut hak yang terdapat pada orang-orang Melayu yang menjadi bumiputra, tetapi juga menghapuskan segala kekuasaan yang ada pada raja-raja Melayu. Justeru itu, kejayaan menghapuskan rancangan penubuhan Malayan Union itu adalah suatu sumbangan besar terhadap orang-orang Melayu. Dalam usaha menentang rancangan Malayan Union ini, kita dapat lihat peranan besar yang dilakukan oleh akhbar Utusan Melayu ini.
Akhbar ini bukan sahaja menyiarkan tentang perkembangan pelaksanaan Malayan Union, malah akhbar ini juga memuatkan artikel yang dapat membangkitkan semangat nasionalisme orang melayu. Jika kita lihat dalam keluaran akhbar Utusan Melayu ini pada 1, April 1946, menyiarkan dalam tajuk utama akhbar iaitu, “umat Melayu seluruh Semananjung Tanah Melayu mesti berkabung hari ini”. Berita yang disiarkan ini merupakan resolusi kongres Melayu yang diadakan di Kuala Lumpur. Artikel penuh ini seperti berikut.
“sebagaimana yang telah disiarkan bahawa suatu persidangan kongres tergempar telah diadakan pada petang Sabtu di Kuala Lumpur kerana merundingkan perkara yang berkenaaan dengan Malayan Union yang telah dibantah itu, maka sepucuk surat kawat dari tuan Zaabar, Kuala Lumpur kepada kesatuan Melayu Singapura pada Pukul 4.15 petang Ahad semalam adalah menyatakan seperti berikut:
Kepetusan Kongres Kuala Lumpur meminta sekalian umat Melayu melihat kain putih di songkoknya seminggu lamanya dari sehari bulan April sebagai tanda berkabung bagi membantah kedatangan Malayan Union.”[22]
Walau bagaimanapun rencana pengarang Utusan Melayu keluaran 25 Mac 1946, lebih ketara menunjukkan tidak bertolak ansur dengan rancangan British mewujudkan Malayan Union itu. Menurut rencana akhbar itu, “Malaya akan ribut jika sekiranya Malayan Union dipaksakan juga. Kerana pada pendapat rencana itu kerajaan Inggeris seolah-olah menganggap bahawa orang-oang melayu seperti “Lembu” dan “Kerbau”.[23] Sememangnya dalam usaha meniupkan semangat nasionalisme terhadap masyarakat melayu, terutamannnya untuk menentang gagasan Malayan Union ini akhbar ini tidak ketinggalan.
            Penentangan demi penentangan terus dilakukan oleh akhbar ini, demi inginkan sebuah negara yang merdeka tanpa ada pengaruh dari luar. Kita dapat lihat juga rencana akhbar ini pada 25 Mac 1946 yang telah mengeluarkan perkataan yang agak kesat. Ini jelas menunjukkan bahawa akhbar ini sudah tidak mampu menahan amarah kebencian terhadap Malayan Union ini. Antara isi rencana tersebut ialah;
“kita adalah dalam kebimbangan tatkala mendapati adanya perubahan kerajaan British yang akan menunjukkan kekerasan dan kedegilan yang demikian itu yang mana telah membawa pandangan Malayan Union adalah umpama menyuruh orang-orang di Malaya ini sakan rumput dengan alasan yang dipanggil rumput itu adalah seelok-elok makanan kerana itulah lembuh dan kerbau jadi hidup dan gemuk”[24]

Walaupun usaha akhbar ini untuk meniupkan semangat nasionalisme dalam diri masyarakat Melayu tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan, namun perjuangan akhbar ini bukanlah bak pepatah Melayu hanya hangat-hangat tahi ayam. Akhbar ini merasakan adalah menjadi tanggungjawab untuk menyedarkan masyarakat Melayu tentang bahaya rancangan keji British ini terhadap penubuhan Malayan Union. Keadaan ini dapat kita lihat melalui rencana akhbar ini yang bertarikh 25 Mac 1946.
“kerajaan British tidak akan menghiraukan apa akan berlaku di Malaya ini pada masa akan datang. Dengan fahaman ini bolehlah kita mengambil faham bahawa kerajaan Malaya mesti menerima Malayan Union itu apabila dijalankan kelak. Adakah kepercayaan ini akan bertentangan atau akan mendatangkan sebaliknya jawapan ini terpulanglah kepada perhatian kerajaan British sendiri kerana menurut apa yang ada sekarang tiadalah kita dapat menyatakan selain daripada mengambil kesempatan bahawa Malaya akan menjadi ribut jika tidak akan bertiup taufan”[25]
Melalui rencana akhbar ini, suatu penjelasan ringkas berkenaan kedudukan masyarakat Melayu sekiranya penubuhan Malayan Union ini berjaya. Masyarakat Melayu yang dilihat hidup dalam keadaan dan kedudukan yang terjaga dan memiliki keistimewaan dalam Tanah Melayu akan tergugat seandainya penubuhan Malayan Union itu barjaya. Keadaan ini dilihat akan menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam masyarakat Melayu yang akhirnya akan mengeruhkan lagi situasi keamanan Tanah Melayu.
Walaupun akhbar ini dilihat telah memberikan komited yang besar dalam pembantahan keras terhadap penubuhan Malayan Union. Namun amat mengecewakan apabila gagasan Malayan Union ini akhirnya berjaya dilaksanakan di Tanah Melayu pada 1 April 1946. Suatu perkara yang menjadi keistemewaan akhbar ini apabila semangat untuk memperjuangkan masyarakat melayu tidak pudar dalam halaman atau rencana akhbar ini. Akhbar ini dilihat masih berusaha untuk memberikan pandangan berkaitan kedudukan masyarakat Melayu yang bukan hanya menginginkan sebuah kerajaan yang merdeka tetapi juga ingin suara dan pandangan mereka didengar oleh pemerintah. Melalui ruangan rencana akhbar Utusan Melayu ini pada 6 Julai 1946, adalah suatu pandangan yang diinginkan oleh masyarakat Melayu.
pertama: perjanjian yang dibuat oleh Harol Momichael dengan raja-raja Melayu itu hendaklah dibatalkan,
Kedua: segala perubahan bagi perlebagaan semenanjung Tanah Melayu yang hendak diadakan hendaklah berunding dengan badan rakyat Melayu itu terlebih dahulu yakni tidak dengan Sultan-sultan sahaja.[26]
Rencana ini merupakan suara masyarakat Melayu yang inginkan penubuhan Malayan Union dibatalkan. Masyarakat Melayu merasakan penubuhan gagasan ini bukan hanya menghilangkan identiti Melayu itu sendiri malahan peranan raja-raja Melayu yang telah sebati dengan kehidupan mereka sejak dulu lagi.
            Perjuangan akhbar ini telah mendapat sokongan moral daripada penyokong gerakan kiri yang mempunyai matlamat yang sama iaitu ingin menuntut perlembagaan rakyat dan ingin melihat Tanah Melayu ini mendapat kemerdekaan. Keadaan ini dapat kita lihat melalui terbitan akhbar ini pada 20 Oktober 1947 yang membesarkan berita tindakan “Hartal” iaitu penutupan kedai-kedai di seluruh Malaya dan Singapura kerana membantah perlembagaan persekutuan. Tajuk utama terbitan akhbar ini ialah “Malaya Berhartal Hari ini” dan diikuti dengan berita singapura menyusun memperhebatkan gerakan antifederation.[27] Parti komunis Malaya dan parti-parti sayap kiri Melayu iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan All Malayan Council of Joint Action berada di belakang tindakan hartal. Bagaimanapun, tindakan itu gagal kerana tidak mendapat sokongan yang menyeluruh dalam masyarakat.
            Berkat daripada usaha masyarakat Melayu yang begitu gigih untuk terus menentang penubuhan Malayan Union ini telah membuahkan hasil apabila gagasan ini berjaya dibatalkan pada 1 Febuari 1948. Walaupun perjuangan akhbar ini tidak begitu menonjol dalam kejayaan ini, namun yang pastinya peranan akhbar Utusan Melayu ini berlaku di belakang tabir kejayaan ini.
Penglibatan akhbar ini dalam dunia politik di Tanah Melayu ini sememangnya telah memberikan kesan terhadap identiti akhbar ini sendiri. Kesan identiti terhadap akhbar yang dimaksudkan ini adalah apabila akhbar ini telah menjadi sebuah akhbar alat propaganda politik parti UMNO pada 20 Oktober 1961, setelah 93 hari berlaku mogok oleh pekerja akhbar ini diistiharkan tamat selepas keputusan diambil dalam satu mesyuarat tergempar yang dipanggil oleh Kesatuan Pekerja Cetak cawangan Utusan Melayu.[28] Sebenarnya peristiwa mogok selama 93 hari yang bermula 20 Julai 1961, oleh para pekerja dalam syarikat akhbar ini adalah salah satu bantahan terhadap pengambilalihan syarikat akhbar Utusan Melayu oleh ahli-ahli dan kumpulan yang rapat dengan UMNO.
Walau bagaimanapun usaha mengadakan mogok untuk mempertahankan kebebasan akhbar ini hanya bertahan selama 93 hari dan berakhir dengan sebuah identiti baru akhbar ini. Justeru itu, kejayaan Utusan Melayu yang membantu mewujudkan dan memberikan legitimasi kepada kepemimpinan Melayu seterusnya menjadi senjata makan tuan, yang akhirnya pada tahun 1961 Utusan Melayu ditelan oleh kelompok kuasa yang dibantunya sejak 1946, iaitu UMNO.[29] Selaras dengan itu, bermulanya suatu lembaran baru dalam akhbar ini untuk bersama-sama dengan parti UMNO untuk menyampaikan pendapat atau propaganda politiknya kepada rakyat.
  
Penutup

Penubuhan akhbar Utusan Melayu ini seperti seawal penerbitannya ialah, ia bertolak dari cita-cita murni iaitu untuk berusaha keras untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dalam bidang sosial, ekonomi, pendidikan dan hatta politik. Sejak penubuhan akhbar ini terlalu banyak suara atau pandangan dimuatkan dalam helaian akhbar ini yang sememangnya adalah untuk kepentingan masyarakat Melayu itu sendiri. Namun maklumat yang ingin disuarakan oleh akhbar ini tidak sampai kepada masyarakat keseluruhannya kerana faktor utama, iaitu buta huruf masyarakat pada ketika itu. Walau bagaimanapun perkara ini tidaklah melemahkan perjuangan akhbar ini untuk terus membela nasib masyarakat Melayu yang dilihat telah jauh ketinggalan berbanding bangsa-bangsa pendatang seperti China dan India.
            Justeru itu, dalam memperjuangkan nasib Melayu menentang penubuhan Malayan Union yang dilihat sebuah rancangan yang keji buat bangsa Melayu, akhbar ini sangat aktif dan begitu panatik dalam melontarkan suara bantahannya. Malahan akhbar ini juga dilihat menjadi tulang belakang bagi parti UMNO yang berusaha untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. Walaupun peranan akhbar ini tidak begitu menonjol dalam usaha menuntut sebuah negara yang merdeka, namun secara tidak sedar peranan akhbar ini begitu besar terutamanya dalam meniup semangat nasionalisme kepada masyarakat Melayu.
            Melalui akhbar ini, sememangnya masyarakat Melayu didedahkan dengan kepentingan hak asasi manusia dan tuntutan demokrasi serta tuntutan kearah berkerajaan sendiri. Tidak dapat dinafikan juga bahawa melalui akhbar ini, telah berjaya membuatkan anjakan paradigma dalam kalangan orang Melayu yang kian terbuka mindanya. Justeru itu, dapatlah kita katakan bahawa bibit-bibit tiupan semangat nasionalisme masyarakat Melayu juga adalah lahir daripada akhbar yang bernama Utusan Melayu.


  
6.0              Bibliografi

“Kehendak Melayu Sebenar”, Utusan Melayu, 6 Julai 1946.

“Malaya Berhartal hari ini”, Utusan Melayu, 20 Oktober 1947.

“Melayu dalam Malayan Union”, Utusan Melayu,  25 Mac 1946.

“umat Melayu seluruh Semananjung Tanah Melayu mesti berkabung hari ini”, Utusan Melayu. 1   April 1946.

A Kadir Jasin. 2009. Membangun bangsa dengan mata pena. Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka.

A.M Iskandar Haji Ahmad. 1973. Persuratkhabaran Melayu (1876-1968).  Kuala Lumpur:           Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Rahman Haji Ismail & Mahani Musa. 2011. Akhbar dan tokoh persuratkhabaran    Malaysia Kurun Ke-20. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia
Alias Mohamed. 2005. Sastera dan Politik: Penulis, Akhbar dan Gapena. Kuala Lumpur: Gateway Publishing House Sdn Bhd.
Arshad bin Haji Nawari. 1976/77. Peranan Utusan Melayu bagi mencetuskan semangat                            Nasionalisma Melayu dari tahun 1939 hingga tahun 1945. Latihan Ilmiah. Kuala                           Lumpur: Penerbit Universiti Malaya
Aziah binti Arifin. 2003. Peranan Media semasa Darurat 1948-1960: Tumpuan kepada akhbar    Utusan Melayu. Kuala Lumpur: penerbit Universiti Malaya.
Kim, Khoo Kay & Jazamuddin Baharuddin (ed.). 1980.  Lembaran Akhbar Melayu. Kuala           Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia.
Mazlan Nordin. 2009. Tokoh dan Akhbar Melayu Penebus Peminggiran Melayu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohd. Safar Hasim. 1996. Akhbar dan Kuasa; Perkembangan Sistem Akhbar di Malaysia sejak    1806. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Noor Hanani Abdul Hadi. 2003. Isu-isu politik di tanah Melayu, 1942-1958 berdasarkan Akhbar              Utusan Melayu. Kuala Lumpur; Penerbit Universiti Malaya.
Ruzaini Fikri Mohd Azman. 2013.  Konsep Malaysia dalam akhbar Malaya Merdeka, 1961-         1963. Seminar Sejarah 50 Tahun Malaysia. Anjuran Fakulti Sastera dan Sains Sosial          Universiti Malaya. Kuala Lumpur. 8 Oktober 2013.

Zainudin Maidin. 2013. Di depan api, di belakang duri: kisah sejarah Utusan Melayu. Kuala        Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd.
7.0       Lampiran
Utusan Melayu 20 Oktober 1947
Utusan Melayu 24 Julai 1948


Utusan Melayu 1 September 1967
Utusan Melayu 25 Mac 1946





[1] A.M Iskandar Haji Ahmad. 1973. Persuratkhabaran Melayu (1876-1968).  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm vii.
[2] Ibid, hlm viii.
[3] Aziah binti Arifin. 2003. Peranan Media semasa Darurat 1948-1960: Tumpuan kepada akhbar Utusan Melayu. Kuala Lumpur: penerbit Universiti Malaya. Hlm 25.
[4] Ibid, hlm 25.
[5] Abdul Rahman Haji Ismail & Mahani Musa. 2011. Akhbar dan tokoh persuratkhabaran Malaysia Kurun Ke-20. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia. Hlm 25.
[6] A.M Iskandar Haji Ahmad. 1973. Persuratkhabaran Melayu (1876-1968). Hlm 7.
[7] Ibid,  hlm 7.
[8] Abdul Rahman Haji Ismail & Mahani Musa. 2011. Akhbar dan tokoh persuratkhabaran Malaysia Kurun Ke-20.. Hlm 26.
[9] Mazlan Nordin. 2009. Tokoh dan Akhbar Melayu Penebus Peminggiran Melayu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Hlm 76.
[10] Khoo Kay Kim & Jazamuddin Baharuddin (ed.). 1980.  Lembaran Akhbar Melayu. Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia. Hlm 105.
[11] Noor Hanani Abdul Hadi. 2003. Isu-isu politik di tanah Melayu, 1942-1958 berdasarkan Akhbar Utusan Melayu. Kuala Lumpur; Penerbit Universiti Malaya. Hlm 5.
[12] Utusan Malaysia. 23 Jun 2013.
[13] Zainudin Maidin. 2013. Di depan api, di belakang duri: kisah sejarah Utusan Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd. Hlm 333.
[14] Ibid, hlm 332.
[15] Abdul Rahman Haji Ismail & Mahani Musa. 2011. Akhbar dan tokoh persuratkhabaran Malaysia Kurun Ke-20.. Hlm 26-27.
[16] Ruzaini Fikri Mohd Azman. 2013.  Konsep Malaysia dalam akhbar Malaya Merdeka, 1961-1963. Seminar Sejarah 50 Tahun Malaysia. Anjuran Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya. Kuala Lumpur. 8 Oktober 2013.
[17] Abdul Rahman Haji Ismail & Mahani Musa. 2011. Akhbar dan tokoh persuratkhabaran Malaysia Kurun Ke-20. Hlm 17.
[18] Alias Mohamed. 2005. Sastera dan Politik: Penulis, Akhbar dan Gapena. Kuala Lumpur: Gateway Publishing House Sdn Bhd. Hlm 166.
[19] Khoo Kay Kim & Jazamuddin Baharuddin (ed.). 1980.  Lembaran Akhbar Melayu. Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia. Hlm 110.
[20] Ibid, hlm 110.
[21] Mazlan Nordin. 2009. Tokoh dan Akhbar Melayu Penebus Peminggiran Melayu. Hlm 75.
[22] “umat Melayu seluruh Semananjung Tanah Melayu mesti berkabung hari ini”, Utusan Melayu. 1 April 1946.
[23] Arshad bin Haji Nawari. 1976/77. Peranan Utusan Melayu bagi mencetuskan semangat Nasionalisma Melayu dari tahun 1939 hingga tahun 1945. Latihan Ilmiah. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Hlm 95.
[24] Ibid, Hlm 95.
[25] “Melayu dalam Malayan Union”, Utusan Melayu,  25 Mac 1946.
[26] “Kehendak Melayu Sebenar”, Utusan Melayu, 6 Julai 1946.
[27] “Malaya Berhartal hari ini”, Utusan Melayu, 20 Oktober 1947.
[28] Mohd. Safar Hasim. 1996. Akhbar dan Kuasa; Perkembangan Sistem Akhbar di Malaysia sejak 1806. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Hlm 264.
[29] A. Kadir Jasin. 2009. Membangun bangsa dengan mata pena. Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka. Hlm 67.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan